Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (yahudi dan nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka; orang-orang yang fasik (A-li ‘imran : 110)
Firman diatas menceritakan kelebihan umat Nabi Muhammad dengan ungkapan gelaran sebaik-baik umat. Bahkan pelbagai kelebihan lain juga turut diceritakan di dalam ayat-ayat yang lain. Kelebihan-kelebihan ini merupakan suatu anugerah dan penghargaan bermakna bagi mereka yang benar-benar memahami dan melaksanakan segala tuntutan Allah dan Rasul.
Namun fenomena yang berlaku kebelakangan ini membuktikan sebaliknya. Segala penghargaan dan tuntutan ini telah dicampak dari kamus kehidupan sebagai seorang Muslim. Kepincangan yang berlaku di setiap peringkat amat parah, di mana seorang Muslim telah kehilangan jatidiri Muslim, sebuah institusi kekeluargaan telah kehilangan panduan Baiti Muslim, sebuah masyarakat telah kehilangan fungsi masyarakat Islam, dan sebuah negara telah kehilangan ketamadunan Islamnya. Pelbagai kerosakan dari segi akidah, akhlak dan ibadah telah berlaku. Wabak ini semakin membarah dan menjadi penyakit yang tiada ubatnya. Buktinya boleh dilihat di mana-mana, pada setiap ketika dan di setiap peringkat. Gejala sosial, pembuangan bayi, pembunuhan kejam, penindasan dan sebagainya berlaku saban hari.
Setelah diperhalusi dan diteliti, kesilapan ini bukanlah kesilapan yang tidak disengajakan malahan ia adalah akibat kelalaian manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam yang sebenar dan kegagalan melunasi tanggungjawab yang dipundakkan sebagai khalifah. Agenda dakwah bukan lagi menjadi agenda utama dalam pembentukan peribadi. Ia sekadar menjadi bualan di warung-warung kopi dengan ulasan yang kosong.
Seandainya ditelusuri sirah perjuangan Baginda Rasulullah s.a.w, tidak sedikitpun agenda dakwah ini disisihkan malah ia menjadi satu matlamat dan kemestian bagi mencapai misi menegakkan daulah Islamiah. Ia dijadikan kewajipan dan kemestian yang tersemat di dada para pendakwah sehingga terbina empayar Islam yang agung dan dihormati.
Seharusnya, setiap diri yang bergelar Muslim perlu melaksanakan agenda dakwah ini, terutama mereka yang diberikan keilmuan dan kelebihan dalam bidang ini. Sikap pentingkan diri perlu dikikis dari setiap diri yang bergelar pendakwah. Segala fungsi dan peranan sebagai pendakwah perlu dimainkan di setiap peringkat tanpa mengenal had atau sempadan. Ia perlu dijadikan sebagai perkara pokok yang mesti dibahaskan bagi memastikan kepincangan umat ini dapat diselesaikan. Alangkah malunya diri yang bergelar da’ie sekiranya tanggungjawab ini tidak dilaksanakan sebaiknya. Konsep persaudaraan Islam perlu dihidupkan kembali dalam erti kata sebenar. Imam Al Iz bin Abd Dissalam mengatakan :“Sesunguhnya syariat itu adalah kemaslahatan baik mencegah dari kerosakan maupun mencapai kemaslahatan“
Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali satiap saat kehidupan ini, adakah telah terlunas segala tanggungjawab sebagai pendakwah yang telah digalas sekian lama. Mudah-mudahan kepayahan yang dilalui ini menjadi satu saham yang akan diambil hasilnya di sana kelak.
No comments:
Post a Comment