Thursday, April 21, 2011

Potensi kepimpinan menerusi keputusan piliharaya.

Berlalunya pilihan raya Negeri Sarawak dengan menatijahkan beberapa perubahan yang mencorak susana sebenar politik di negeri tersebut. DAP mencatat keputusan yang paling memberangsangkan, ini kerana ia memiliki jumlah kerusi tertinggi di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat yang bertanding. Nasib belum menyebelahi PAS kerana masih gagal memperolehi sebarang kerusi dilima kawasan yang dipertandingkan, walaupun kelihatan sambutan rakyat terhadap PAS di Sarawak adalah positif.

Sudah menjadi lumrah bagi PAS sepanjang perjuangannya ditimpa kekalahan. Bahkan PAS pernah menghadapi saat-saat getir di sepanjang hidup penulis ketika PRU 11 pada tahun 2004. Namun ia bukan menjadi sebab kepada PAS untuk berputus asa seterusnya menarik diri dalam lapangan siyasah ini. Disebabkan PAS sebagai sebuah gerakan dakwah yang bersifat menyeluruh meliputi usaha memulihkan sistem politik negara ke arah politik Islam, maka kewajipan itu sehingga hari kiamat.

Kekalahan PAS di beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini termasuklah di Tenang, Merlimau dan di Kerdau bukanlah menjadi asas kepada sebab perlu menjatuhkan kepimpinan pusat yang sedia ada. Walaupun pada realitinya kita bakal berhadapan dengan susana pemilihan anggota pusat pada bulan Jun ini. Penulis agak terkilan dengan kenyataan penganalisis politik Aziz Bari yang menganggap Dato Seri Presiden sebagai liabiliti kepada PAS dan PR malahan turut mengaitkan Dato Seri Presiden sebagai punca kekalahan PAS di Sarawak. Penulis rasa bersyukur kerana kenyataan ini dibidas segera oleh Tuan Guru Mursyidul AM PAS.

Aziz Bari dalam kenyataannya seolah-olah ingin menyarankan supaya Dato Seri Presiden berundur diri dalam pemilihan anggota pusat akan datang kerana menjadi penyebab kepada kekalahan PAS dalam beberapa PRK yang lalu termasuk pilihanraya Negeri Sarawak. Satu ucapan yang cukup ringkas dan tepat dari Tuan Guru Mursyidul Am bagi membidas kenyataan penganalisi tersebut dengan menyatakan : "Menukar pemimpin itu hanyalah apabila pemimpin itu melanggar syariat Allah.

Penulis tertanya kenapa Aziz Bari terlalu gemar mengkritik dengan niat untuk menjatuhkan kepimpinan PAS yang sedia ada terutamanya terhadap Presiden? Penulis ingin bertanya kepada Aziz Bari, sepanjang di bawah kepimpinan Dato' seri Presiden ketika bermula dari tahun 2004 di mana PAS mengalami kekalahan teruk sehinggalah kepada sessi ini, berapa ramaikah wakil rakyat PAS yang telah berpaling tadah? Barapa ramaikah wakil rakyat PAS yang mengkhianati negeri sehingga menyebabkan negeri PR jatuh dan hampir goyah ke tangan Barisan Nasional?

Penulis bukanlah tidak bersetuju dengan keterbukaan PAS untuk memilih siapakah calon yang paling layak untuk memimpin Parti. Namun apa yang penulis ingin tekankan di sini janganlah disebabkan beberapa sudut kecil itu menjadi alasan kukuh kepada perlunya menjatuhkan kepimpinan yang sedia ada. Sebagaimana yang di ulas oleh Doktor Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirannya berhubung dengan personaliti Tholut yang memimpin kaumnya dalam menentang tentera Jalut, belaiu menyatakan : " Kelayakan memimpin itu hanyalah dengan memiliki kesempurnaan atau kecukupan pada Ilmu (agama), kemahiran (pengalaman), berkeperibadian tinggi serta memiliki kemahuan yang jitu.

Penulis mengingatkan kepada semua ahli supaya berhati-hati dalam membuat pilihan terhadap siapakah pemimpin kamu. Jika kamu tersalah memilih pemimpin apatah lagi pemimpin yang dipilih itu memiliki agenda peribadi maka tunggulah balasan dan azab Allah terhadap kamu. Ini kerana hubungan pemimpin dengan rakyat mahupun rakyat dengan pemimpin di sana ada perhitungan dosa dan pahala.

Aziz Bari hanya seorang penganalisis politik tetapi dia bukan sebagai aktivis Islam yang berkecimpung dalam urusan gerak kerja dakwah. maka dia tidak memahami apakah konsep dakwah serta pendakwah dalam kehidupan berdakwah dan berpolitik.

Wednesday, April 20, 2011

Muktamar : HARAKAH jangan jadi batu api

Muktamar tahunan PAS sudah semakin hampir. PAS dikebanyakan semua peringkat sudahpun menyelesaikan mesyuarat agung tahunan mereka. Bertepatan pada tahun ini sesi pemilihan AJK PAS Pusat yang baru sudah tentu bagi setiap peringkat kawasan mereka telah memiliki percaturan tersendiri. Percaturan ini sangat penting, bagi memastikan siapakah yang layak untuk menduduki kerusi AJK PAS Pusat untuk sessi 2011 sehingga 2013.

Penulis yakin dan percaya kesemua peringkat memiliki kebijaksanaan dalam memilih siapakah mereka yang layak dicalonkan untuk mewakili mereka di peringkat kepimpinan pusat. Memiliki ilmu, berkeperibadian tinggi meliputi akhlak berjemaah, pengalaman yang luas, konsisten dan fokus dengan gerak kerja, sikap dengar dan taat, menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap kepimpinan tanpa berbelah bagi dan tidak memiliki agenda peribadi tersendiri itulah antara keutamaan yang mungkin dibuat oleh setiap peringkat kawasan untuk menyaring calon-calon yang benar-benar layak.

Walaupun PAS bersifat terbuka terhadap ahli dalam memilih kepimpinan mereka, namun begitu, penulis mengingatkan supaya pemilihan tersebut berjalan dengan suasana yang harmoni dan janganlah sampai wujudnya susana lobi-melobi dan memburuk-burukkan pimpinan yang lain. Kita adalah Jemaah Islam bukannya jemaah thogut yang menjadikan dunia serta agenda peribadi sebagai cita-cita hidup. Sifat menghargai serta menghormati kepimpinan yang sedia ada perlu diambil kira bukannya dijadikan sebab untuk diserlahkan keaiban mereka di khalayak ramai. Mereka dipilih atas kehendak ahli bukannya di atas kehendak peribadi mereka. Sebagai sebuah gerakan Islam kita memiliki medan yang terbaik untuk memuhasabah kepimpinan kita.

Tidak ingatkan kita terhadap pesanan Timbalan Mursyidul AM ketika mana menggulung perbahasan dalam sidang muktamar yang lalu. Beliau mengingatkan kepada seluruh kepimpinan PAS bahawasanya musuh ada di mana-mana. Beliau memetik dari Surah At-Taghobun ayat ke 14. Berwaspadalah kita sebagai ahli gerakan islam, kalaulah isteri dan anak itupun boleh menjadi musuh kita apatah lagi dalam persahabatan. janganlah kita menjadi duri dalam daging yang akan merosakkan ketulinan,ketelusan dan keharmonian PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Isu melaga-lagakan golongan ulama dan profesional ini diharap tidak akan berlaku. Penulis merasakan tidak timbul isu siapa yang lebih banyak berjasa atau siapa yang lebih banyak menaikkan keunggulan PAS dalam arena politik Malaysia. Ini kerana yang hanya layak menilai adalah Allah S.W.T, tugas kita adalah bekerja bersungguh-sungguh serta berganding bahu dalam menaikkan martabat Islam seterusnya memacu agenda perjuangan menerusi dasar parti. Kewujudan ulama dan golongan profesional dalam parti PAS bukanlah menjadi sebab kepada kemunduran PAS malahan ia menjadi pendominasi di atas keselarasan gerak kerja serta peranan bagi setiap saluran.

Penulis juga mengingatkan kepada Harakah yang menjadi lidah rasmi PAS supaya tidak terikut dengan gelagat akhbar thoghut yang lain. Harakah diingatkan supaya tidak menimbulkan atau sengaja mengulas isu-isu seperti ini supaya ia tidak mengganggu gugat perpaduan ahli parti.