Friday, July 15, 2011

Kenapa hanya Mohd Firdaus Madzlan kenapa tidak Mohd Faizal Sabhon?

Pada hari khamis baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu berita seorang mahasiswa telah diberhentikan serta merta dari meneruskan pengajiannya di salah sebuah institut pendidikan Al-Azhar As-Syarif. Mahasiswa yang dimaksudkan ialah Saudara Mohd Firdaus Bin Madzlan berasal dari Negeri Selangor yang kini sepatutnya sudah melalui fasa terakhir bagi menyempurnakan pengajiannya di Institut Pengajian Darul Ifta' kaerah Mesir.Beliau sebelum ini telahpun memperoleh Sarjana Muda (B.A) dalam bidang pengajian Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar Kaherah.

Difahamkan bahawa beliau telah menjadi mangsa perbuatan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah yang telah meminta supaya pihak Al-Azhar memberhentikan serta merta program pengajiannya di institut pengajian tersebut.Beliau bagaimanapun tidak dimaklumkan secara rasmi oleh pihak JPM mahupun kedutaan terhadap perkara tersebut, melainkan setelah ia dimaklumi oleh pensyarahnya sendiri menerusi panggilan telefon selepas waktu maghrib pada hari yang sama.

Bagi mendapatkan penjelasan terhadap tindakan tersebut ke atasnya,beliau cuba menghubungi Dato' Duta dan pihak JPM yang terlibat namun sehingga ke hari ini hasilnya gagal.Gerak hati beliau jelas merujuk kepada tindakan ini ekoran inisiatif beliau sebagai Presiden Gerakan SUARA Rakyat (SUARA) yang telah menganjurkan beberapa aktiviti di Mesir yang menyokong tindakan Gabungan Pilihanraya yang Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai baru-baru ini.

Kejayaan beliau yang mampu menghimpunkan sebanyak 1300 mahasiswa Malaysia di seluruh Mesir yang menyokong BERSIH 2.0 pada 9 Julai telah mendesak pihak tersebut berbuat tindakan sedemikian setelah diberi peringatan sebelum menjelang hari tersebut.Tindakan Dato' Duta yang dilihat tidak profesional terhadap tindakannya amatlah dikesali.Beliau pernah mempersoal kepada Dato' Duta di atas alasan dan peruntukan apa yang menjadikan perbuatannya dalam menganjur aktiviti sedemikian itu sebagai satu kesalahan. Namun alasan kebudak-budakkan Dato' Duta adalah ia adalah isu politik kerana cubaan menjatuh dan menggugat kerajaan Malaysia. Lebih dikesali terhadap kredibiliti Dato' Duta sebagai wakil rasmi negara ia menghemburkan alasan yang berbaur perkauman.

Apabila menyebut isu keterlibatan mahasiswa luar negara terhadap politik ia menjadi isu hangat yang sering menjadi keutamaan dalam urusan JPM di seluruh dunia terutama di Timur Tengah.Sedangkan pada masa yang sama mereka seolah-olah menutup mata terhadap apa sahaja aktiviti dan tindakan mahasiswa-mahsiswa yang pro kepada UMNO di luar negara. Di Mesir satu-satunya kelab politik yang telah ditubuhkan secara terang-terangan iaitu Kelab UMNO Mesir. Apatah lagi sebilangan kecil pendokong-pendokong kelab tersebut masih menuntut di Mesir.

Siapa yang tidak mengenali susuk tubuh yang bernama Mohd Faizal Bin Sabhon berasal dari negeri Johor kini turut melanjutkan pelajarannya di American Open University (lanjutan B.A). Beliau antara yang dilihat sebagai orang kuat kepada UMNO dan satu-satunya manusia yang cukup sayang kepada kerajaan Barisan Nasional di Mesir sehinggakan beliau juga pernah menjadi Pengerusi kelab Penyokong Islam Hadhari. Namun sehingga kini beliau masih tidak menerima apa-apa tindakan dari pihak Kedutaan mahupun JPM. Beliau juga banyak mengambil bahagian serta menjayakan aktiviti-aktiviti UMNO di Mesir

Melewati isu saudara Mohd Firdaus Bin Madzlan penulis terkesima dengan perilaku saudara Mohd Faizal Bin Sabhon beberapa hari ini,yang dilihat mengambil tindakan berdiam diri menerusi laman sosialnya (FB) mahupun laman blog beliau. Apakah beliau takut atau memang beliau di bela oleh UMNO, Pihak Kedutaan dan JPM walaupun pada hakikatnya beliau juga agak tidak digemari oleh para pegawai pihak terbabit.




Thursday, April 21, 2011

Potensi kepimpinan menerusi keputusan piliharaya.

Berlalunya pilihan raya Negeri Sarawak dengan menatijahkan beberapa perubahan yang mencorak susana sebenar politik di negeri tersebut. DAP mencatat keputusan yang paling memberangsangkan, ini kerana ia memiliki jumlah kerusi tertinggi di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat yang bertanding. Nasib belum menyebelahi PAS kerana masih gagal memperolehi sebarang kerusi dilima kawasan yang dipertandingkan, walaupun kelihatan sambutan rakyat terhadap PAS di Sarawak adalah positif.

Sudah menjadi lumrah bagi PAS sepanjang perjuangannya ditimpa kekalahan. Bahkan PAS pernah menghadapi saat-saat getir di sepanjang hidup penulis ketika PRU 11 pada tahun 2004. Namun ia bukan menjadi sebab kepada PAS untuk berputus asa seterusnya menarik diri dalam lapangan siyasah ini. Disebabkan PAS sebagai sebuah gerakan dakwah yang bersifat menyeluruh meliputi usaha memulihkan sistem politik negara ke arah politik Islam, maka kewajipan itu sehingga hari kiamat.

Kekalahan PAS di beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini termasuklah di Tenang, Merlimau dan di Kerdau bukanlah menjadi asas kepada sebab perlu menjatuhkan kepimpinan pusat yang sedia ada. Walaupun pada realitinya kita bakal berhadapan dengan susana pemilihan anggota pusat pada bulan Jun ini. Penulis agak terkilan dengan kenyataan penganalisis politik Aziz Bari yang menganggap Dato Seri Presiden sebagai liabiliti kepada PAS dan PR malahan turut mengaitkan Dato Seri Presiden sebagai punca kekalahan PAS di Sarawak. Penulis rasa bersyukur kerana kenyataan ini dibidas segera oleh Tuan Guru Mursyidul AM PAS.

Aziz Bari dalam kenyataannya seolah-olah ingin menyarankan supaya Dato Seri Presiden berundur diri dalam pemilihan anggota pusat akan datang kerana menjadi penyebab kepada kekalahan PAS dalam beberapa PRK yang lalu termasuk pilihanraya Negeri Sarawak. Satu ucapan yang cukup ringkas dan tepat dari Tuan Guru Mursyidul Am bagi membidas kenyataan penganalisi tersebut dengan menyatakan : "Menukar pemimpin itu hanyalah apabila pemimpin itu melanggar syariat Allah.

Penulis tertanya kenapa Aziz Bari terlalu gemar mengkritik dengan niat untuk menjatuhkan kepimpinan PAS yang sedia ada terutamanya terhadap Presiden? Penulis ingin bertanya kepada Aziz Bari, sepanjang di bawah kepimpinan Dato' seri Presiden ketika bermula dari tahun 2004 di mana PAS mengalami kekalahan teruk sehinggalah kepada sessi ini, berapa ramaikah wakil rakyat PAS yang telah berpaling tadah? Barapa ramaikah wakil rakyat PAS yang mengkhianati negeri sehingga menyebabkan negeri PR jatuh dan hampir goyah ke tangan Barisan Nasional?

Penulis bukanlah tidak bersetuju dengan keterbukaan PAS untuk memilih siapakah calon yang paling layak untuk memimpin Parti. Namun apa yang penulis ingin tekankan di sini janganlah disebabkan beberapa sudut kecil itu menjadi alasan kukuh kepada perlunya menjatuhkan kepimpinan yang sedia ada. Sebagaimana yang di ulas oleh Doktor Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirannya berhubung dengan personaliti Tholut yang memimpin kaumnya dalam menentang tentera Jalut, belaiu menyatakan : " Kelayakan memimpin itu hanyalah dengan memiliki kesempurnaan atau kecukupan pada Ilmu (agama), kemahiran (pengalaman), berkeperibadian tinggi serta memiliki kemahuan yang jitu.

Penulis mengingatkan kepada semua ahli supaya berhati-hati dalam membuat pilihan terhadap siapakah pemimpin kamu. Jika kamu tersalah memilih pemimpin apatah lagi pemimpin yang dipilih itu memiliki agenda peribadi maka tunggulah balasan dan azab Allah terhadap kamu. Ini kerana hubungan pemimpin dengan rakyat mahupun rakyat dengan pemimpin di sana ada perhitungan dosa dan pahala.

Aziz Bari hanya seorang penganalisis politik tetapi dia bukan sebagai aktivis Islam yang berkecimpung dalam urusan gerak kerja dakwah. maka dia tidak memahami apakah konsep dakwah serta pendakwah dalam kehidupan berdakwah dan berpolitik.

Wednesday, April 20, 2011

Muktamar : HARAKAH jangan jadi batu api

Muktamar tahunan PAS sudah semakin hampir. PAS dikebanyakan semua peringkat sudahpun menyelesaikan mesyuarat agung tahunan mereka. Bertepatan pada tahun ini sesi pemilihan AJK PAS Pusat yang baru sudah tentu bagi setiap peringkat kawasan mereka telah memiliki percaturan tersendiri. Percaturan ini sangat penting, bagi memastikan siapakah yang layak untuk menduduki kerusi AJK PAS Pusat untuk sessi 2011 sehingga 2013.

Penulis yakin dan percaya kesemua peringkat memiliki kebijaksanaan dalam memilih siapakah mereka yang layak dicalonkan untuk mewakili mereka di peringkat kepimpinan pusat. Memiliki ilmu, berkeperibadian tinggi meliputi akhlak berjemaah, pengalaman yang luas, konsisten dan fokus dengan gerak kerja, sikap dengar dan taat, menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap kepimpinan tanpa berbelah bagi dan tidak memiliki agenda peribadi tersendiri itulah antara keutamaan yang mungkin dibuat oleh setiap peringkat kawasan untuk menyaring calon-calon yang benar-benar layak.

Walaupun PAS bersifat terbuka terhadap ahli dalam memilih kepimpinan mereka, namun begitu, penulis mengingatkan supaya pemilihan tersebut berjalan dengan suasana yang harmoni dan janganlah sampai wujudnya susana lobi-melobi dan memburuk-burukkan pimpinan yang lain. Kita adalah Jemaah Islam bukannya jemaah thogut yang menjadikan dunia serta agenda peribadi sebagai cita-cita hidup. Sifat menghargai serta menghormati kepimpinan yang sedia ada perlu diambil kira bukannya dijadikan sebab untuk diserlahkan keaiban mereka di khalayak ramai. Mereka dipilih atas kehendak ahli bukannya di atas kehendak peribadi mereka. Sebagai sebuah gerakan Islam kita memiliki medan yang terbaik untuk memuhasabah kepimpinan kita.

Tidak ingatkan kita terhadap pesanan Timbalan Mursyidul AM ketika mana menggulung perbahasan dalam sidang muktamar yang lalu. Beliau mengingatkan kepada seluruh kepimpinan PAS bahawasanya musuh ada di mana-mana. Beliau memetik dari Surah At-Taghobun ayat ke 14. Berwaspadalah kita sebagai ahli gerakan islam, kalaulah isteri dan anak itupun boleh menjadi musuh kita apatah lagi dalam persahabatan. janganlah kita menjadi duri dalam daging yang akan merosakkan ketulinan,ketelusan dan keharmonian PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Isu melaga-lagakan golongan ulama dan profesional ini diharap tidak akan berlaku. Penulis merasakan tidak timbul isu siapa yang lebih banyak berjasa atau siapa yang lebih banyak menaikkan keunggulan PAS dalam arena politik Malaysia. Ini kerana yang hanya layak menilai adalah Allah S.W.T, tugas kita adalah bekerja bersungguh-sungguh serta berganding bahu dalam menaikkan martabat Islam seterusnya memacu agenda perjuangan menerusi dasar parti. Kewujudan ulama dan golongan profesional dalam parti PAS bukanlah menjadi sebab kepada kemunduran PAS malahan ia menjadi pendominasi di atas keselarasan gerak kerja serta peranan bagi setiap saluran.

Penulis juga mengingatkan kepada Harakah yang menjadi lidah rasmi PAS supaya tidak terikut dengan gelagat akhbar thoghut yang lain. Harakah diingatkan supaya tidak menimbulkan atau sengaja mengulas isu-isu seperti ini supaya ia tidak mengganggu gugat perpaduan ahli parti.

Friday, October 29, 2010

Sumbangan PMRAM untuk rakyat Malaysia di Mesir

Mengimbas kembali kronologi penubuhan DPM yang bertujuan menjaga kebajikan pelajar Malaysia di Al-Azhar cawangan, membuktikan bahawa kebajikan yang dijanjikan oleh PMRAM bukanlah satu retorik semata-mata. Malahan ia menunjukkan PMRAM benar-benar memaksudkan laungan “Satu Fikrah Satu Amal”.

Dewan Perwakilan Mahasiswa atau ringkasannya DPM seperti yang telah diketahui adalah merupakan organisasi pentadbiran di peringkat cawangan yang mewakili PMRAM Pusat. Tujuan penubuhannya adalah bagi memantau permasalahan yang berlaku di peringkat cawangan sama ada permasalahan tersebut berkaitan pengurusan di kuliah mahupun di luar kuliah. Tujuan lain adalah untuk memberikan kebajikan kepada mahasiswa Islam yang menuntut di Mesir.

Berikut adalah kronologi Agung penubuhan PMRAM dan DPM:-

1930 : Penubuhan Putera-putera Semenanjung.

1958 : PMM mendesak kerajaan Malaysia mewujudkan kedutaan di Mesir.

1960 : Kedutaan besar Malaysia diwujudkan hasil desakan PMM.

1971 : Pertukaran nama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

1991 : Menguruskan penghantaran pertama pelajar siswi pertama di cawangan Al- Azhar,Iskandariah.

1992 : Menghantar mahasiswa ke cawangan Al-Azhar di Tanta, Damanhur, Shibinn El-Kom Dan mansurah.

1993 –

2009 : PMRAM mewakili Badan Kebajikan Anak Negeri (BAKAN) dalam mambantu menguruskan penghantaran pelajar-pelajar baru dari BAKAN masing-masing ke Universiti Al-Azhar cawangan. Oleh yang demikian satu lajnah khas ditubuhkan oleh PMRAM bagi memudahkan lagi proses penghantaran pelajar-pelajar baru tersebut. Maka Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) mula ditubuhkan.

2010 : PMRAM hanya menumpukan kepada perlaksanaan program Minggu Pengetahuan Silaturrahim (MPS) peringkat PMRAM sahaja. Hal ini berikutan keberjayaan usaha pihak JPMK dalam menidakkan kehadiran mahasiswa baru ke university di cawangan bermula pada tahun ini.

Kronologi yang dipaparkan diatas membuktikan kesungguhan perjuangan PMRAM bagi membantu mahasiswa tanpa membezakan ideologi atau pemikiran. Namun, alangkah sedihnya apabila terdapat beberapa pihak yang sepatutnya bersama-sama mendokong usaha murni ini telah mengkhianati agenda yang ingin dibawa oleh PMRAM. Pelbagai usaha dilakukan bagi menjatuhkan kesatuan ini sehingga sanggup menafikan hak-hak yang sepatutnya dimiliki oleh mahasiswa Malaysia walhal kewujudan mereka sebenarnya adalah terhasil daripada desakan mahasiswa sendiri.

Bersambung……..

Friday, October 22, 2010

Pengakuan Pengarah JPMK Menandatangani Surat ‘AC ‘ Medic Mesir

Susulan daripada pertemuan saya selaku Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta, Us.Sulaiman Bin Ismail dan Pengerusi Perubatan Cawangan Tanta saudara Mohd Azhan Bin Hamdan bersama En.Shaiful Bin Muhammad, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah seperti yang telah dilaporkan sebelum ini. Maka, semalam bertarikh 21/10/2010 saya bersama beberapa orang ahli Dewan Perwakilan Mahasiwa Tanta sekali lagi ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah untuk bertemu sendiri dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Profesor Jamil Bin Hashim bagi mendapatkan penjelasan berkaitan surat yang telah dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada agensi Medic Mesir.

Dalam pertemuan tersebut, kami bertanyakan kepada beliau tentang status surat tersebut, siapa yang mengeluarkan dan menandatangani surat tersebut. Profesor Jamil mengakui bahawa surat tersebut telah ditandatangani oleh beliau dan dikeluarkan oleh kerani yang bertugas pada waktu itu. Professor Jamil mengatakan bahawa surat itu bukanlah surat keizinan menubuhkan Academic Centre (AC) seperti yang telah diwar-warkan oleh agen Medic Mesir akan tetapi hanya sekadar sokongan sahaja. Dari sudut keselamatan pula, Professor Jamil menyatakan bahawa tidak ada apa-apa jaminan dan segala risiko akan ditanggung oleh agensi Medic Mesir sepenuhnya.

Meskipun begitu, saya amat kesal dengan tindakan Profesor Jamil kerana menandatangani surat tersebut dalam keadaan surat itu terdapat banyak kesalahan dan menyalahi format penulisan surat yang sebenar. Sepatutnya, selaku Pengarah JPMK yang dihantar oleh pihak kerajaan Malaysia ke sini perlulah memainkan peranan sebaik-baiknya dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Apabila ditanya berkenaan kesalahan-kesalahan pada surat tersebut, beliau hanya berdiam sahaja dan mengatakan bahawa akan menyemak semula isi kandungan surat tersebut. Saya menganggap bahawa tindakan Profesor Jamil menandatangani tanpa menyemak isi kandungan merupakan satu kecuaian daripada pihak beliau sendiri. Bagaimana seorang yang berpendidikan tinggi dan bertaraf professional boleh melakukan kesilapan seperti ini.

Dalam masa yang sama juga, Profesor Jamil mengatakan bahawa Kementerian Pengajian TInggi, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah & Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah tidak mengiktiraf mana-mana agensi di Mesir setakat ini. Apabila tidak mengiktiraf mana-mana agensi, maka pihak JPMK tidak boleh mengeluarkan surat sokongan tersebut. Tindakan Professor Jamil ini menyalahi etika kerja sebagai seorang yang berstatus pegawai kerajaan.


Sumber artikel ini diambil daripada laman Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) :-

http://www.edpmt.org/v03/index.php

Kenyataan rasmi Pengerusi DPMT mengenai isu surat rasmi Pihak JPMK kepada Medic Mesir.

DPMT, 20 Oktober 2010 - Assalamualaikum... Makluman kepada seluruh warga Tanta yang dirahmati Allah S.W.T hendaknya. Pihak DPMT dengan penuh rasa bertanggungjawab ingin menyentuh mengenai isu surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada Agen Medic Mesir iaitu surat sokongan dan kebenaran menubuhkan Academic Centre ( AC) di Tanta yang tersiar di tantamedicmesir.blogspot.com.

Rentetan daripada surat yang dikeluarkan itu, kami menyedari terdapat beberapa kesalahan dan keraguan yang boleh dipertikaikan mengenai surat yang telah dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada pihak Agen Medic Mesir itu.

Dengan ini, saya MOHD SULAIMAN BIN ISMAIL selaku Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) bersama saudara AZHAN BIN HAMDAN selaku Pengerusi Perubatan cawangan Tanta (PCT) telah mengadakan perjumpaan secara rasmi dengan Encik Shaiful Anuar Bin Mohammad yang merupakan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) di pejabatnya untuk mendapat penjelasan mengenai kesahihan surat tersebut.

Semasa perjumpaan, saya telah mengemukakan contoh surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada Agen Medic Mesir ini. Hasil penilitiannya, beliau menyatakan bahawa tidak tahu menahu langsung mengenai surat yang dikeluarkan itu. Ujarnya lagi, beliau begitu musykil dengan kesahihan pengeluaran surat tersebut dan akan mendapatkan kepastian dan maklum balas dari pihak JPMK sendiri.

Antara yang kami utarakan dalam pertemuan tersebut,kami menyatakan terdapat beberapa kesalahan dalam surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK. Antaranya, surat tersebut tiada nombor rujukan rasmi, kesalahan tatabahasa dan tandatangan yang tidak bernama akan tetapi menggunakan kepala surat rasmi JPMK sepenuhnya.

Justeru, seharusnya tidak berlaku sama sekali kesalahan tersebut kerana ianya menyalahi protokol surat rasmi jabatan kerajaan dan boleh menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan integriti JPMK ini.

Dengan bukti yang ditimbulkan ini, surat ini dikira tidak sah dan tidak boleh dijadikan sokongan kepada agen Medic Mesir sama sekali kerana terdapat banyak keraguan dan ketidaksahihannya.

Saya berharap dengan kenyataan ini, seluruh ahli di Tanta dari kalangan Pengajian Islam dan Perubatan jelas mengenai status surat ini yang telah dikeluarkan secara rasmi oleh JPMK.

Sekian, terima kasih.

Oleh,

MOHD SULAIMAN BIN ISMAIL,

Pengerusi,

Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta

Sesi 2010

Program Penerangan Isu-Isu Semasa Serta Solat Hajat Beramai-Ramai Selamatkan Kutub Sittah.