Thursday, September 30, 2010

Dakwah sebagai wasilah pembaikan

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (yahudi dan nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka; orang-orang yang fasik (A-li ‘imran : 110)

Firman diatas menceritakan kelebihan umat Nabi Muhammad dengan ungkapan gelaran sebaik-baik umat. Bahkan pelbagai kelebihan lain juga turut diceritakan di dalam ayat-ayat yang lain. Kelebihan-kelebihan ini merupakan suatu anugerah dan penghargaan bermakna bagi mereka yang benar-benar memahami dan melaksanakan segala tuntutan Allah dan Rasul.

Namun fenomena yang berlaku kebelakangan ini membuktikan sebaliknya. Segala penghargaan dan tuntutan ini telah dicampak dari kamus kehidupan sebagai seorang Muslim. Kepincangan yang berlaku di setiap peringkat amat parah, di mana seorang Muslim telah kehilangan jatidiri Muslim, sebuah institusi kekeluargaan telah kehilangan panduan Baiti Muslim, sebuah masyarakat telah kehilangan fungsi masyarakat Islam, dan sebuah negara telah kehilangan ketamadunan Islamnya. Pelbagai kerosakan dari segi akidah, akhlak dan ibadah telah berlaku. Wabak ini semakin membarah dan menjadi penyakit yang tiada ubatnya. Buktinya boleh dilihat di mana-mana, pada setiap ketika dan di setiap peringkat. Gejala sosial, pembuangan bayi, pembunuhan kejam, penindasan dan sebagainya berlaku saban hari.

Setelah diperhalusi dan diteliti, kesilapan ini bukanlah kesilapan yang tidak disengajakan malahan ia adalah akibat kelalaian manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam yang sebenar dan kegagalan melunasi tanggungjawab yang dipundakkan sebagai khalifah. Agenda dakwah bukan lagi menjadi agenda utama dalam pembentukan peribadi. Ia sekadar menjadi bualan di warung-warung kopi dengan ulasan yang kosong.

Seandainya ditelusuri sirah perjuangan Baginda Rasulullah s.a.w, tidak sedikitpun agenda dakwah ini disisihkan malah ia menjadi satu matlamat dan kemestian bagi mencapai misi menegakkan daulah Islamiah. Ia dijadikan kewajipan dan kemestian yang tersemat di dada para pendakwah sehingga terbina empayar Islam yang agung dan dihormati.

Seharusnya, setiap diri yang bergelar Muslim perlu melaksanakan agenda dakwah ini, terutama mereka yang diberikan keilmuan dan kelebihan dalam bidang ini. Sikap pentingkan diri perlu dikikis dari setiap diri yang bergelar pendakwah. Segala fungsi dan peranan sebagai pendakwah perlu dimainkan di setiap peringkat tanpa mengenal had atau sempadan. Ia perlu dijadikan sebagai perkara pokok yang mesti dibahaskan bagi memastikan kepincangan umat ini dapat diselesaikan. Alangkah malunya diri yang bergelar da’ie sekiranya tanggungjawab ini tidak dilaksanakan sebaiknya. Konsep persaudaraan Islam perlu dihidupkan kembali dalam erti kata sebenar. Imam Al Iz bin Abd Dissalam mengatakan :“Sesunguhnya syariat itu adalah kemaslahatan baik mencegah dari kerosakan maupun mencapai kemaslahatan“

Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali satiap saat kehidupan ini, adakah telah terlunas segala tanggungjawab sebagai pendakwah yang telah digalas sekian lama. Mudah-mudahan kepayahan yang dilalui ini menjadi satu saham yang akan diambil hasilnya di sana kelak.

Majlis Konvokesyen terdapat dalam senarai fungsi JPMK?

Tanggal 10 Oktober 2010 mahasiswa dan mahasiswi Universiti Al-Azhar yang telah menamatkan pengajian di peringkat ijazahnya bakal diraikan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Kesemua mereka aan diraikan dalam satu majlis yang dinamakan Majlis Konvokesyen Graduan Malaysia Universiti Al-AzharMesir 2010.

Kita semua sedia maklum bahawa program seperti ini sebenarnya bukanlah menjadi tanggungjawab utama dalam melaksanakannya sebagai sebuah jabatan penuntut Malaysia yang diwujudkan di luar negara. Bahkan tanggungjawab yang sedia ada pun masih lagi dipersoalkan, terutama yang berkait dengan kelembapan jabatan tersebut terhadap pengesahan kemasukan pelajar-pelajar cawangan Shoubra untuk mengikuti sesi pengkuliahan mereka seterusnya untuk melayakkan mereka menghadapi peperiksaan. Adakah isu tersebut bakal berlaku lagi pada sesi ini?

Berikut disenaraikan fungsi jabatan ini :

1. Mengurus hal akademik pelajar Malaysia di Mesir dan Maghribi.

2. Mengurus pengesahan pengajian pelajar Malaysia di Mesir.

3. Menjalin hubungan baik dan bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) serta agensi-agensi lain yang bernaung di bawah KBMK.

4. Menjalin hubungan baik dengan Kementerian Pengajian Tinggi, university dan pihak-pihak berkuasa tempatan Mesir.

5. Mengurus hal ehwal kebajikan pelajar di Mesir dan Maghribi.

6. Mengurus pentadbiran dan kewangan jabatan.

7. Merancang dan melaksanakan program pembangunan syakhsiah pelajar Malaysia di Mesir dan Maghribi.

8. Mengawasi dan memantau aktiviti persatuan pelajar Malaysia dan Maghribi.

9. Mengurus program sambutan hari kebesaran Islam dan Negara Malaysia.

10. Mengurus dan merai lawatan tetamu rasmi.

Jika dilihat dari sudut penyenaraian fungsi jabatan ini, tidak ada satupun yang menyentuh tentang melaksanakan majlis konvokesyen. CBR berpandangan mungkin majlis konvo ini termasuk dalam item yang ke 7 dalam senarai fungsi iaitu “Merancang dan melaksanakan program pembangunan syakhsiah pelajar Malaysia di Mesir dan Maghribi”.

Jika majlis konvo ini termasuk dalam agenda yang dirancang dalam item ke 7, maka CBR merasakan ini sahajalah program yang diatur selama kewujudan JPMK di bumi Mesir ini berkait dengan item ke 7. Sepatutnya item ke 7 itu diperbanyakkan lagi tindakan dan aktivitinya selain dari mengadakan majlis konvo.

Contoh tindakan atau aktiviti yang CBR boleh cadangkan kepada JPMK adalah bekerjasama dengan HISBAH PMRAM dalam melaksanakan tugas-tugas amar ma’ruf nahi mungkar. Itupun kalau JPMK tidak berbulu dan tidak takut jika mahu bersama PMRAM. Jika JPMK tidak mahu melibatkan PMRAM, CBR mencadangkan agar JPMK menubuhkan satu unit gerakan khas bagi mencegah masalah mungkar yang berlaku di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir ini. Untuk makluman JPMK masalah syakhsiah yang berlaku di kalangan pelajar-pelajar kita pada hari ini bukan setakat berdating bahkan berzina pun sudah ada. CBR tidak menyentuh lagi tentang masalah akidah, yang dah nak murtad pun ada. Tapi bila PMRAM mengadukan masalah ini kepada JPMK dan sedia untuk bekerjasama, JPMK menyepi seribu bahasa. Sehingga sekarang Pihak HISBAH PMRAM menuntut JPMK untuk membuat kad khas bagi mengesahkan pasangan yang sudah berkahwin masih tidak dihiraukan.

Sepatutnya dengan bidang kuasa yang lebih besar daripada PMRAM, JPMK boleh menyenaraikan antara tindakan-tindakan dan amaran yang boleh dikuatkuasakan terhadap pelaku-pelaku masalah social pelajar Malaysia di sini. CBR yakin dan percaya masalah social ini mampu untuk dikurangkan dan dibanteras. JPMK juga sebenarnya boleh melaksanakan program-program dakwah dan penerangan terhadap penuntut-penuntut Malaysia di Mesir ini. Tidak kiralah samada terhadap pelajar agama mahupun pelajar-pelajar perubatan. Ini bagi memastikan mereka diingatkan supaya berakhlak baik serta mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan samada oleh Islam sendiri, Kerajaan Malaysia mahupun pihak-pihak berkuasa tempatan Mesir. Tindakan ini juga bagi menjamin hubungan dan nama baik Malaysia Mesir.

Namun apa yang mengecewakan CBR, JPMK hanya sibuk untuk menyekat aktiviti-aktiviti persatuan pelajar khususnya PMRAM. Sebagaimana isu yang telah berlaku pada tahun sebelum ini berikutan sekatan JPMK terhadap pelajar-pelajar agama untuk mengikuti Majlis Sima’u Al-Ahadith yang dianjurkan oleh PMRAM bersama para masyaikhul azhari.

Sebenarnya banyak masalah-masalah salah laku beberapa orang kakitangan JPMK yang telah dimaklumkan orang ramai kepada CBR. Mungkin apa yang boleh ditambah oleh CBR terhadap fungsi JPMK ini berdasarkan dari pemerhatian dan suasana yang berlaku adalah :

“Beberapa orang dari kakitangan Pejabat JPMK mestilah menjadi Duta Umno di Mesir dan Maghribi”.

Sekian makluman dari CBR untuk semua. Tunggu artikel terbaru dari CBR, Lengkuas, Tokmiah, Muslimah Today, Al-Banna dan ramai lagi untuk tatapan anda.

Wednesday, September 29, 2010

Minda Mahasiswa.

Mahasiswa adalah satu kelompok masyarakat yang memiliki daya intelektual dan penaakulan yang tinggi. Kelebihan ini sesuai dengan jiwa mereka yang sering meneliti dan mengkaji. Mahasiswa juga memainkan peranan yang penting sebagai agen perubah kepada masyarakat.Namun sejak kebelakangan ini kelompok ini seakan-akan hilang fungsinya. Sindrom takut menanggung risiko serta malas untuk mengambil tahu kerana menganggap tiada kaitan dengan kepentingan diri semakin menular disanubari mahasiswa, sedangkan kita semua sedia maklum bahawasanya mahasiswa bukanlah golongan yang mudah dijual beli dan bukan juga sebagai pak turut.

Beridealisma serta proaktif memungkin mereka menjadi perhatian masyarakat, Ini kerana nilai yang ada pada golongan ini menjadi penentu kepada masadepan sesebuah negara dimasa akan datang. Sindrom ini berlaku antaranya disebabkan beberapa factor seperti kewujudan Akta Universiti Kolej (AUKU) pindaan 1975/1971. Auku diperkenalkan oleh Tun Hussein Onn ketika mana beliau memegang jawatan menteri pendidikan yang diusulkan diparlimen pada 17 mac 1971 dan mula dikuatkuasa pada 30 april 1971.

Akta ini sebenarnya bertentangan dengan artikel 10: ”Hak kebebasan bersuara,berhimpun dan berpesatuan adalah hak mana-mana indvidu yang sah sebagai warganegara Malaysia”. Hakikatnya akta auku tidak wujud diluar negara namun ada juga pihak-pihak yang memperbodohkan mahasiswa dengan akta ini. Menyekat hak mereka dengan ugutan yang berbagai seperti menarik hak biasiswa dan zakat jika suara dan peranan mahasiswa ini dilihat melawan arus kepentingan politik dan peribadi mereka.

ingatlah! kalian semua berstatus mahasiswa berhak bersuara untuk menyatakan kebenaran,keadilan demi kepentingan agama,bangsa dan negara. Wahai muslimin dan muslimat diakhirat kelak akan ditanya kepada kalian 4 perkara:

1-Umurmu ke mana telah gunakan.
2-Tentang masa mudamu ke mana telah kamu habiskan.
3-Hartamu dari mana telah kamu perolehi dan dimana kamu infakkan.
4-Ilmumu adakah sudah disampaikan dan diamalkan.

Semoga kita semua mendapat kefahaman jelas dan perlu bangkit, bertindak dan bekerja untuk islam yang tercinta sebelum kita dipanggil untuk menghadap rabbul jalil. Sekian dari kami untuk anda.